Make your own free website on Tripod.com
Pembuka bicara | Mengenali Punca-Punca Penyakit | Cellfood & Testimoni | Bukti ujian saintifik dan keselamatan cellfood | Keratan akhbar tentang penyakit & kesihatan | Lain-lain Pemakanan Kesihatan | Hubungi Kami/ Soal-Jawab Kesihatan | Berminat dalam Perniagaan Kesihatan? | Maklumat Kesihatan dan Penyakit

KEHIDUPAN DAN KESIHATAN

Keratan akhbar tentang penyakit & kesihatan

kl_07061.jpg

Edisi KL : Bahana 'Susu Ajaib'
Oleh Zainal Zawawi Mohamed

KUALA LUMPUR: Seorang wanita kini menanggung derita apabila tiga lubang terpaksa ditebuk di perutnya selepas dipercayai minum ‘susu ajaib’ yang kononnya mampu menyembuhkan penyakit darah tinggi dan kencing manis di sebuah kedai makan di Sekinchan, Selangor, baru-baru ini.

 

Doktor di sebuah hospital di ibu negara juga terpaksa memasukkan sejenis alat di tangan mangsa apabila badannya menjadi lembik dan perutnya membuncit.

Norhayati Jalaludin, 43, berkata susu awal lembu yang diminumnya itu tidak mempunyai tarikh luput, logo halal serta nama kilang yang mengeluarkan produk berkenaan.

“Pada pertengahan Jun lalu, saya meminum susu itu yang dipromosi di sebuah kedai ketika berhenti rehat bersama suami di Sabak Bernam ketika dalam perjalanan ke Bagan Datoh, Perak.

“Kira-kira dua jam selepas minum susu, badan saya lemah dan tangan tidak boleh angkat serta perut membuncit,” katanya, ketika ditemui, di sini, semalam.

Beliau berkata, berikutan itu, suaminya segera menghantarnya ke Hospital Sabak Bernam (HSB) untuk rawatan.

Menurutnya, doktor menahannya untuk rawatan selama 10 hari di hospital berkenaan sebelum memindahkannya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan pakar.

“Hasil pemeriksaan, doktor mendapati saya tidak menghidap penyakit lain dan meminta saya memberitahu sekiranya ada termakan atau terminum apa-apa ubat dalam tempoh 24 jam sebelum jatuh sakit.

“Saya memaklumkan hanya minum sejenis susu yang dikatakan dapat mengurangkan penyakit darah tinggi dan kencing manis,” katanya.

Norhayati berkata, berdasarkan pemerhatian, doktor mengesahkan susu yang diminumnya tidak sesuai sehingga menyebabkannya jatuh sakit.

Beliau berkata, hidupnya kini semakin menderita apabila suaminya, Ramli Osman, 47, diberhentikan kerja berikutan terpaksa menjaganya ketika menerima rawatan selama dua minggu di HKL.

“Saya meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap pengeluar susu terbabit kerana bimbang ramai lagi mangsa bakal menerima nasib sama seperti saya,” katanya
.

 
 
 
 

7.5 juta berisiko sakit jantung

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN


APAKAH makna angka 7.5 juta penduduk negara kita berisiko tinggi menghidap penyakit jantung dan 2.1 juta orang pula mengalami masalah kencing manis kepada anda? Bagi individu yang termasuk dalam angka ini, sudah pasti ada banyak perkara yang perlu difikirkan supaya mereka boleh terus hidup dalam keadaan sihat.

Namun, ada juga yang melihat angka ini tidak mempunyai sebarang makna atau kepentingan dan menganggap ia tidak akan berlaku kepada mereka kerana merasakan mereka cukup sihat. Sebenarnya, 9.6 juta orang itu juga mempunyai anggapan yang sama seperti kita sehinggalah mereka disahkan menghidap penyakit kronik.

Berdasarkan gaya hidup sedentari atau kurang aktif serta tabiat pemakanan kurang seimbang yang kita amalkan sekarang ini, setiap orang mempunyai risiko untuk menghidap penyakit jantung, tekanan darah tinggi, kencing manis dan strok.

Usaha mengajak masyarakat menjaga kesihatan diri sememangnya bukan perkara mudah. Sudah jutaan ringgit dibelanjakan namun tahap kesedaran masyarakat Malaysia terhadap kepentingan penjagaan kesihatan diri sendiri masih rendah.

Sekarang tanyakan pada diri sendiri, setiap kali melihat iklan yang mengajak bersenam adakah berputik sedikit semangat untuk memulakan senaman? Tidak? Inilah masalah kita yang sebenarnya. Kurang keazaman dan keinginan untuk memelihara kesihatan diri.

Sebenarnya insiden tekanan darah tinggi di negara ini tidak jauh bezanya dengan penduduk negara maju seperti Amerika Syarikat tetapi hanya satu per tiga daripada pesakit tekanan darah tinggi di sini yang sedar mengenai masalah kesihatan mereka.

Pakar perubatan terutama daripada Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia (NHAM), bimbang sikap tidak kisah masyarakat kita ini akan terus meningkatkan jumlah pesakit kronik di negara kita. Ini kerana 48 hingga 55 peratus pesakit kencing manis juga mengalami masalah tekanan darah tinggi.

Presiden NHAM, Dr Ahmad Nizar Jamaludin, berkata kebanyakan orang kurang mengambil tahu terhadap maklumat kesihatan yang ada di keliling mereka sehinggalah mereka sendiri menghidap penyakit. Lebih buruk jika mereka sebenarnya menghidap dua atau tiga penyakit kronik serentak iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi dan sakit jantung.

Sudah lama penyakit jantung dan tekanan darah tinggi menduduki tangga teratas dalam carta penyakit kronik negara. Tahun lalu saja, sebanyak 38,445 kes kematian di hospital membabitkan tekanan darah tinggi dilaporkan berbanding 32,886 kes pada tahun 2000.

“Manakala kes membabitkan sakit jantung pula meningkat kepada 25,362 kes tahun lalu berbanding 17,598 pada 2000. Lebih membimbangkan ialah kini lebih 30 peratus penduduk negara ini mengalami masalah obesiti, tekanan darah tinggi dan paras kolesterol tinggi dalam darah. Sementara 8.5 peratus lagi menghidap penyakit kencing manis.

“Ini bermakna daripada 25 juta penduduk negara ini, 2.1 juta menghidap kencing manis dan 7.5 juta pula berisiko tinggi mendapat sakit jantung. Angka ini amat membimbangkan kerana ia bertambah setiap tahun,” katanya ketika pelancaran video cakera padat Jantung Sihat.

Presiden Yayasan Jantung Negara (NHF), Datuk Dr Khoo Kah Lin, berkata pengamal perubatan di seluruh negara perlu mengambil bahagian dalam meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menyayangi jantung dan kesihatan mereka secara keseluruhan.

Katanya, penggunaan ubat saja tidak akan dapat mengawal pertambahan pesakit jika kesedaran tidak dipupuk dan masyarakat bersedia membuat perubahan kepada gaya hidup mereka.


 
 
 
 

4,000 racun bahaya dalam asap rokok

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

 

SEBUTLAH apa jua jenis penyakit yang bakal menyerang dan boleh meragut nyawa, semuanya tidak berkesan di hati perokok. Makin ditegah, makin banyak kempen kesedaran diadakan, semakin menjadi-jadi pula tabiat merokok yang kini mula menular di kalangan kanak-kanak sekolah rendah.

Kanser juga tidak digeruni perokok kerana kebanyakan kes berlaku pada perokok berumur 50 tahun ke atas. Jadi ia sukar memberi kesan di hati perokok muda yang menganggap perkara itu masih terlalu jauh untuk berlaku kepada mereka.

Namun, seperkara yang perlu diingat dan difahami betul-betul ialah, insiden kes kanser mula melanda pesakit muda.

Menariknya, sembilan daripada 10 jenis kanser paling popular bagi lelaki berpunca atau ada kaitan rapat dengan merokok.

Pengarah Eksekutif Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM), Dr Saunthari Somasundaram, berkata penggunaan tembakau (sama ada menghisap rokok, cerut atau paip) menyumbang 30 peratus kematian di kalangan pesakit kanser.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya ada 15 jenis kanser yang dikenal pasti berhubung rapat dengan tabiat merokok, antaranya barah paru-paru, mulut, tekak, buah pinggang, serviks, usus, perut, pankreas dan prostat.

Berita baiknya, dua pertiga daripada semua jenis kanser boleh dielakkan dan caranya sangat mudah, iaitu berhenti merokok. Statistik berdasarkan Persidangan Kawalan Tembakau Malaysia 2005 pada Mei lalu menunjukkan hampir 50 peratus lelaki Malaysia merokok dan jumlah ini adalah jauh jika dibandingkan dengan jumlah purata insiden merokok dunia (49 peratus) dan 39 peratus di negara membangun.

“Dianggarkan ada lapan juta perokok di Malaysia dan yang menyedihkan, 75 peratus mula merokok sebelum umur 20 tahun. Kini, umur perokok semakin muda dan ada kanak-kanak sekolah rendah juga mula merokok. Ini bermakna kebarangkalian mendapat kanser boleh berlaku lebih awal.

“Asap rokok mengambil masa panjang untuk menunjukkan keburukannya. Biasanya, keburukan ini muncul apabila umur menjangkau 50 tahun dan ini sebabnya ia tidak dapat menyedarkan perokok muda. Mereka anggap mereka muda dan perjalanan untuk dapat penyakit masih terlalu jauh,” katanya.

Rasanya semua orang tahu maklumat mengenai asap rokok yang mengandungi 4,000 bahan kimia berbahaya dan 60 daripadanya sangat beracun.

Antaranya Ammonia (bahan pencuci lantai), Aseton (bahan penanggal cat), Arsenik (racun anai-anai), Toluidine, Urethane, Toluena (Bahan Pelarut), Dibenzacridine, Fenol, Butana (bahan api pemetik api), Karbon Monoksida (gas beracun ekzos kereta), Polonium-210, DDT (racun makhluk perosak), Maetanol (bahan api roket), Kadmium (bahan dalam bateri kereta), Naftalena (ubat gegat), Dimethylnitrosamine, Pyrene dan Naphthylamine.

Selain itu, pengusaha memasukkan 60 jenis bahan untuk ‘menyedapkan’ rasa rokok, termasuk gula dan nikotin. Nikotin menyebabkan orang ketagih merokok dan kesannya jauh lebih berbahaya berbanding heroin.

Apabila anda merokok, asap rokok meresap masuk ke air liur dan semua sel dalam mulut. Apabila asap ditelan, semua racun tersebar ke semua sel laluan pernafasan sebelum berkumpul dalam paru-paru.

Air liur bertindak balas memecahkan komponen asap rokok sebelum meresap ke salur darah. Dari sini, bahan beracun dalam asap rokok merebak ke seluruh organ dalam badan.

Ini juga sebabnya seorang lelaki boleh secara tiba-tiba mengalami masalah kesuburan, mati pucuk atau mendapat kanser prostat yang semuanya menyerang dalam diam.

Asap rokok meracuni air liur yang menyebabkannya hilang manfaat asalnya. Akibatnya air liur bertukar kepada bahan yang boleh merosakkan sel dalam mulut dan menyebabkan gigi berlubang serta penyakit gusi.

Dr Saunthari berkata, merokok juga boleh memberi kesan negatif terhadap semua bahagian dalam sistem pencernaan yang menyebabkan masalah ulser dan pedih ulu hati.

Selain itu, asap rokok memusnahkan bahan antioksidan semula jadi dalam air liur dan ia menjadi perangsang kepada pembentukan kanser dalam mulut.

Perokok juga memerlukan lebih banyak vitamin C berbanding bukan perokok kerana kepekatan vitamin ini susut apabila merokok.

Perokok memerlukan 110 miligram vitamin C sehari (bagi wanita) dan 180 miligram bagi lelaki untuk kekal sihat.

“Semua hasil tembakau memberikan kesan buruk sama seperti rokok, walaupun ia tidak dibakar. Tidak benar dakwaan yang mengatakan hisap cerut kurang berbahaya berbanding rokok kerana kandungannya lebih kurang sama,” katanya.

Malah, ada kajian yang dilaporkan dalam American Journal of Epidemiology menunjukkan, mengurangkan bilangan rokok dihisap setiap hari tidak memberi perbezaan nyata dengan orang yang merokok 15 batang sehari jika dinilai berdasarkan risiko kematian.

Bagaimanapun, orang yang berhenti merokok boleh merendahkan risiko kematian sebanyak 35 peratus. Pun begitu, tidak ramai berdaya sampai ke peringkat ini, melainkan dengan kemahuan sendiri dan disertai semangat tinggi.

“Kebanyakan pesakit saya menyesali tindakan mereka. Untungnya penyakit mereka dapat dikesan awal dan masih boleh dirawat. Dalam keadaan ini, sudah terlambat untuk menyesal, tetapi hidup mesti diteruskan. Justeru, kami di NCSM lebih memberi tumpuan untuk menguatkan semangat mereka,” katanya.

Bekas pesakit kanser di NCSM kini menubuhkan kumpulan sokongan untuk memberi semangat kepada ahli kumpulan atau pesakit baru. Di sini mereka saling berkongsi pengalaman dan menyuntikkan kesedaran mengenai bahaya rokok kepada orang lain.

Sesiapa yang berminat menyertai kumpulan sokongan ini boleh datang ke ibu pejabat NCSM di Jalan Raja Muda Abdul Aziz pada jam 2 petang setiap Khamis minggu ketiga atau hubungi talian 03-26987300 bagi mendapatkan penerangan mengenai kanser.

DATA MENGENAI PEROKOKl:
Jangka hayat lebih pendek 14 tahun daripada bukan perokok.

Rokok penyebab utama kepada:

  Penyakit jantung.

  Bronkitis.

  Strok.

  Nafas berbau.

  Gigi dan lidah bertukar warna.

  Luka dalam mulut sukar sembuh.

  Mengurangkan kepekaan deria rasa dan bau.

  Melanosis (tisu badan menjadi hitam akibat penghasilan banyak melanin).

  Masalah kerosakan gigi dan gusi.

  Gingivitis kronik.

  Ulser gingivitis.

Rokok penyebab utama kanser:

  Paru-paru.

  Larinks (peti suara).

  Leukoplakia (tompok putih dalam mulut, boleh bertukar menjadi kanser).

  Esofagus.

  Perut.

  Pankreas.

  Leukemia.

  Buah pinggang.

  Usus.

  Pundi kencing.

Rokok bertanggungjawab menyebabkan kematian akibat:

  Kanser paru-paru.

  Penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD).

  Sakit jantung.

  Strok.

 

Ujian awal kesan sakit buah pinggang


RAMAI orang beranggapan mereka cukup sihat, walaupun bertahun-tahun tidak menjalani pemeriksaan kesihatan. Malah, tidak kurang juga beranggapan mereka tidak akan berdepan masalah kesihatan, sedangkan setiap orang sebenarnya mempunyai risiko sama untuk mengalaminya kerana kebanyakan penyakit kronik menyerang badan dalam diam.

Sikap suka meletakkan diri dalam keadaan selesa menyebabkan ramai melepaskan peluang menjalani pemeriksaan kesihatan, walaupun ia diberikan secara percuma.

Sikap ini juga menyebabkan ada yang tidak boleh menerima hakikat apabila diberitahu mereka menghidap sesuatu penyakit serius kerana tidak mengalami sebarang gejala.

Namun, itulah sifat penyakit kronik. Kehadirannya tidak dirasai dan pesakit masih boleh menjalankan kegiatan harian tanpa masalah kerana kesan hanya timbul apabila penyakit sampai ke tahap serius.

Fenomena sama turut ditunjukkan dengan masalah kerosakan buah pinggang.

Ia mengambil masa bertahun-tahun sebelum menunjukkan kesan kepada kesihatan.

Bagaimanapun, anda perlu lebih berhati-hati dan segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan jika anda mengalami tanda seperti:

  Ketidakselesaan atau rasa terbakar ketika membuang air kecil.

  Darah keluar bersama-sama air kencing.

  Perubahan pada kekerapan membuang air kecil.

  Sakit belakang.

  Kerap buang air kecil, terutama pada tengah malam.

  Bengkak pada pergelangan kaki.

  Sembap pada keliling mata yang berlarutan, terutama pada sebelah pagi.

Semua tanda di atas menunjukkan seseorang itu mengalami masalah kerosakan buah pinggang. Biasanya gejala ini dianggap perkara biasa dan sering diketepikan, sedangkan ia petanda penting kepada masalah buah pinggang.

Risiko kegagalan buah pinggang semakin tinggi dengan pertambahan umur.

Setiap tahun dianggarkan 2,400 kes baru kegagalan buah pinggang dilaporkan dan kes baru di kalangan golongan berumur antara 60 hingga 65 tahun menunjukkan peningkatan 25 peratus.

Ketua Jabatan Nefrologi Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr Zaki Morad Mohd Zaher, berkata banyak jenis penyakit buah pinggang boleh dirawat jika ia dikesan awal.

Buah pinggang bertugas menapis darah dan membuang bahan toksik, sisa buangan dan air berlebihan dari badan.

Kegagalan buah pinggang melakukan tugas penting ini boleh menyebabkan pesakit menemui maut jika rawatan penggantian buah pinggang tidak dilakukan. Namun, bukan mudah untuk mendapatkan buah pinggang baru dan kosnya pula sangat mahal; boleh mencecah RM300,000!

Justeru, perkara terbaik ialah menjalani pemeriksaan pengesanan. Ujiannya pula sangat mudah iaitu melalui ujian darah dan air kencing yang mengambil masa beberapa minit saja.

Selain dua ujian mudah ini, beberapa kaedah lain boleh digunakan, iaitu biopsi jarum halus dan ujian bagi tekanan darah tinggi dan kencing manis.

“Kaedah terbaik untuk mengelak menanggung kos perubatan tinggi ialah kerap membuat pemeriksaan kesihatan untuk mengesan penyakit pada peringkat awal. Ujian saringan kesihatan ini sangat mudah dan keputusannya boleh diketahui segera.

“Semua orang perlu menjalani pemeriksaan kesihatan ini, terutama mereka yang mempunyai sejarah atau ahli keluarga menghidap penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi, kerana mereka berisiko tinggi mendapat masalah kegagalan buah pinggang.

“Kencing manis dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal juga antara punca utama kerosakan buah pinggang. Jika ini berlaku, bermakna pesakit terpaksa bergantung kepada mesin dialisis darah sepanjang hayat,” katanya pada pelancaran Saringan Kesihatan Kebangsaan anjuran Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF).

Saringan ini sangat mudah. Tiga parameter diukur iaitu tekanan darah, kandungan glukosa darah dan kandungan protein dalam air kencing. Jika air kencing menunjukkan ada protein, pesakit disaran menjalani ujian susulan untuk pengesahan kerana ia antara petanda awal kegagalan buah pinggang.

Pengerusi NKF, Dr S S Gill, pula berkata orang ramai boleh menjalani pemeriksaan ini di semua 19 pusat dialisis NKF di seluruh negara dengan bayaran serendah RM2 pada setiap Sabtu pertama dan ketiga setiap bulan bermula 19 Febuari depan dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari. Manakala bagi penduduk Pantai Timur, waktu saringan pula pada setiap Jumaat pertama dan ketiga.

Masalah kegagalan buah pinggang yang semakin meningkat di kalangan masyarakat kita dipercayai akibat gaya hidup dan tabiat pemakanan tidak sihat yang boleh menjurus kepada penyakit kencing manis serta tekanan darah tinggi.

Kajian terbaru Universiti Sains Malaysia (USM) 2004 mendapati, rakyat Kelantan paling ramai menghidap kencing manis (78,000 orang) dan kebanyakannya adalah pesakit muda berumur 30 tahun.

Peningkatan sekali ganda sebanyak 13 peratus ini sangat merisaukan berbanding hanya 5.3 peratus 10 tahun lalu.

Kencing manis juga menyebabkan 95.3 peratus pesakit di negeri itu terpaksa kehilangan anggota badan yang kesemuanya berpunca daripada pengambilan gula berlebihan.

Jika anda turut mengamalkan gaya hidup tidak sihat, masih belum terlewat untuk mengubahnya.

Mulakan hidup baru dengan menjalani ujian saringan ini sebelum membuat pemeriksaan berkala sekurang-kurangnya setahun sekali.

Kegagalan buah pinggang juga boleh dicegah dengan mengamalkan:

  Pemakanan seimbang.

  Minum sekurang-kurangnya dua liter air sehari.

  Berhenti merokok.

  Makan ubat selepas mendapat nasihat doktor. Paling penting, elakkan ubat yang tidak perlu termasuk ubat untuk menguruskan badan.

  Kekalkan berat badan seimbang.

  Bersenam setiap hari sekurangnya-kurangnya 30 minit.

DR AMIR : 017 242 2407